How to Share With Just Friends

How to share with just friends.

Posted by Facebook on Friday, December 5, 2014

Saturday, March 27, 2010

Titisan Harapan: Anak jadi penawar ketika duka


Oleh Karim Sulaiman
sitikarim@gmail.com
2010/03/27

Kisah wanita tabah jalani rawatan, suami lupa pengorbanan beri keinsafan

SAYA bukan doktor, tabib atau bomoh yang mampu merawat pesakit. Saya hanya orang biasa yang berpenyakit. Pengalaman menjadi pesakit sekian lama mungkin boleh dijadikan panduan sekadar dijadikan terapi untuk meredakan penyakit. Itulah yang saya ingin kongsi dengan pembaca melalui ruangan ini. Setiap minggu saya menerima e-mel daripada pembaca yang tidak putus-putus ingin membantu menyembuhkan penyakit ini. Mereka memberi dorongan dan sokongan supaya tabah menghadapi dugaan ini. Tidak kurang yang inginkan pandangan dan mencurahkan rasa hati dengan penderitaan sama. Mungkin mereka lebih senang berbicara perkara begini dengan orang yang melalui dugaan serupa. Agaknya perasaan mereka akan lega apabila dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. Perkara itu juga dapat saya rasakan selepas membaca kiriman e-mel daripada seorang wanita yang tertekan dengan sikap suaminya. Wanita ini dalam e-melnya yang panjang lebar memulakan bicara dengan ungkapan – benarlah kasih sayang itu penawar paling mujarab untuk apa juga penyakit. Beliau yang memetik tulisan saya pada minggu lalu, menyambung beruntunglah orang yang mendapat kasih sayang itu.

Cerita wanita ini mengharukan saya. Pengorbanannya tidak pernah dihargai suami. Mengimbau kisah lebih 20 tahun lalu, katanya, suaminya menghidapi penyakit kulit teruk selepas dua tahun mereka mendirikan rumah tangga. Keadaan suaminya memang teruk, kulitnya bersisik seluruh badan kecuali pada muka, pusat, bahagian depan dan belakang tapak tangan serta kaki. Kulitnya akan berdarah jika terkena panas matahari.

Dalam tempoh itu, beliau setia dan bersabar melayan kerenah suami. Suaminya dijaga dengan penuh kasih sayang. Dengan izin Allah, suaminya sembuh beberapa tahun kemudian. Wanita ini kemudian diberi dugaan apabila disahkan mempunyai ketumbuhan pada payu dara. Beliau menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu.

Sangkanya, sakitnya akan berakhir di situ, tetapi ujian makmal mendapati ada sel barah pula. Beliau kemudian diberikan cuti sakit selama sembilan bulan untuk rawatan kemoterapi dan radioterapi. Bukan mengharapkan balasan, beliau begitu sedih dan kecewa apabila tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada suami. Segala penderitaan ditanggung sendiri. Suami tidak mengambil berat, hanya anak yang masih kecil yang menjadi penawar duka laranya.
“Saya menjalani rawatan seorang diri. Pergi dan balik dari hospital sendiri dengan teksi. Tempat kerja suami bukannya jauh dari hospital,” kata wanita itu. Ketika menjalani radioterapi pula, beliau berulang-alik ke hospital dengan bas.

Saya dapat rasakan betapa berat beban ditanggungnya kerana pernah menjalani kemoterapi. Sakit selepas rawatan itu memang menyakitkan hingga beberapa hari. Peningnya tidak kepalang. Saya beberapa hari demam selepas kemoterapi walaupun dosnya paling rendah. Tetapi, wanita ini cukup tabah kerana mampu pulang ke rumah bersendirian.

Saya begitu tersentuh apabila membaca ayat ini: “Allah Maha Kaya kerana ketika sakit, anak perempuan di Tahun Enam ketika itu akan membeli lauk setiap hari, manakala saya masak nasi. Saya rasa damai kerana dikelilingi anak. Mereka penawar saya ketika sakit.”

Wanita tabah ini terus berjuang bersendirian melawan penyakitnya. Berkat kesabarannya beliau semakin sembuh. Katanya: “Alhamdulillah, saya sihat dan demi anak saya masih di sini.”

Kisah wanita ini saya ceritakan kepada isteri dan anak ketika kami minum petang. Anak perempuan sulung saya bertanya sama ada ia cerita benar atau drama televisyen. Saya berkata ia adalah kenyataan dalam kehidupan ini. Isteri saya pula mencelah: “Ambil pistol, tembak saja lelaki macam itu.”

Saya faham maksudnya. Apa yang tersirat bukanlah untuk membunuh lelaki sebegitu, tetapi orang seperti itu tidak layak hidup. Saya pernah melalui detik-detik sukar ketika sakit teruk. Semua perkara memerlukan bantuan orang lain. Makan perlu disuap, tidak boleh duduk dan bangun sendiri. Saya walaupun kini boleh makan dan minum sendiri, namun masih memerlukan bantuan dalam melakukan beberapa perkara.

Misalnya, memakai dan membuka pakaian masih perlu dibantu. Tanpa isteri dan anak, memang sukar untuk menjalani kehidupan ini. Seperti yang sering saya katakan, pengorbanan mereka cukup besar. Hanya Allah yang membalasnya. Saya sentiasa berdoa supaya Allah memelihara kesihatan serta memberi ketabahan kepada mereka dalam menghadapi dugaan ini.

No comments:

Post a Comment

Coretan Pertama 2021

 Tanpa disedari sudah lama rasanya berada dalam situasi pandemik disebabkan Covid-19. semua aktiviti seakan-akan terhenti lantaran kerisauan...